KLIK KEJAP

Thursday, April 26, 2012

Seni bina seabad pekan lama Ipoh






PEKAN lama Ipoh dibarisi monumen berstruktur lama dan seni bina yang unik. Bagi yang bijak menghargai nilai sejarah, ia bukanlah bangunan usang yang hanya terdapat dalam diari percutian segelintir individu. Di sinilah, zaman kegemilangan perlombongan bijih timah yang memasyhurkan Tanah Melayu ke seluruh dunia mengukir sejarahnya.

Apa yang pasti, kunjungan ke pekan lama Ipoh bakal membangkitkan imaginasi mengenai peristiwa zaman lampau.

Seakan-akan tergambar di fikiran, keriuhan dan kesibukan penduduk pekan lama itu terutama orang Cina yang membanting tulang melombong bijih timah tidak kira siang dan malam atau orang kaya yang mengunjungi bar bersama wanita simpanan mereka.

Ternyata, itu bukan andaian semata-mata, kerana di pekan lama Ipoh itu wujudnya bekas penempatan dua tingkat di Lorong Panglima atau Concubine Lane yang dikatakan pernah menjadi kediaman perempuan simpanan peniaga-peniaga kaya semasa Ipoh menjadi pusat pengeluaran bijih timah dunia.

Berkembang kerana bijih timah

Menurut Pengurus Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Perak, Roselyn Lim Siew Leng, Concubine Lane suatu ketika dahulu pernah menjadi sarang pelacuran dan perjudian dalam kalangan orang kaya





“Mereka turut mempunyai perempuan-perempuan simpanan yang ditempatkan di sini, tetapi kini yang tinggal hanyalah bangunan lama yang menyimpan pelbagai kisah menarik untuk dikongsi,” katanya.

Roselyn mengiringi lawatan peserta Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M) 2012 - Jom Terokai Perak! yang diadakan di Perak awal bulan ini.

Concubine Lane hanyalah salah satu daripada 24 monumen penting di pekan lama Ipoh yang harus diterokai. Rata-rata bangunan yang dibina berusia sekitar 100 tahun kerana mula dibina pada awal tahun 1900-an.

Untuk mengenal pasti monumen-monumen yang dimaksudkan, pengunjung boleh menghubungi Tourism Perak kerana banyak pakej lawatan yang ditawarkan untuk pelancong yang ingin mengenali Ipoh dengan lebih dekat.

Walaupun perjalanan kaki hanya berdurasi dua jam, dengan cuaca yang panas pengunjung digalakkan mengambil bas pelancong kerana sewa yang dikenakan bagi setiap orang amat berpatutan.

Pengunjung akan dibawa mengenali monumen bersejarah di sekitar Jalan Belfield, Jalan Cross, Jalan Leech, Jalan Treacher, Jalah Datoh, Jalan Mesjid, Jalan Kelab, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Jalan Dewan, Jalan Datuk Maharajalela, Jalan Sultan Yussuf dan Jalan Bijih Timah.

Dalam lawatan itu, pengunjung berpeluang mengenali dengan lebih dekat 24 buah monumen iaitu Stesen Keretapi Ipoh, War Memorial, Majlis Bandaraya Ipoh, Mahkamah Tinggi Ipoh, Kelab Ipoh Diraja, Gereja St. John The Divine dan St. Michael's Institution.

Seterusnya ialah Masjid Padang Kota, F.M.S. Bar & Restaurant, Hongkong dan Shanghai Bank, Bangunan S.P.H. De Silva, Bangunan Chung Thye Phin, Straits Trading Building (OCBC), The Chartered Bank, Mercantile Bank, Residen dan pejabat peguam Seenivasagam Brothers dan Bangunan Tenaga Nasional Ipoh.

Monumen lain yang dapat disaksikan ialah Memorial Birch, pejabat Jan Sahib, Mikasa Photo Shop, asrama dramatis (Dramatists’ Hostel), Pertubuhan Ku Kong Chow Perak, Han Chin Pet Soo dan juga Lorong Panglima (Concubine Lane).

Salah satu monumen penting yang ditemui di Jalan Dewan ialah Birch Memorial. Sekiranya dilihat dengan jarak dekat, terdapat lakaran-lakaran individu-individu terkenal dalam sejarah manusia, termasuk Nabi Muhammad SAW.




“Lakaran Nabi Muhammad telah dipudarkan dan menjadi seperti bayang-bayang sahaja. Semasa ia mula dilakarkan di sini dahulu, terdapat bantahan daripada penduduk Muslim yang marah dengan tindakan itu.

Antara restoran tertua

“Sebab itulah, ada satu lakaran seperti bayang-bayang sahaja, tidak menampakkan bentuk wajah dan susuk badan sebenar, tetapi ia adalah bekas lakaran tersebut,” ujar seorang lagi pemandu pelancong daripada Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Perak, Abdul Majid Fazaldin.

Abdul Majid memberitahu, Memorial Birch yang merupakan sebuah menara jam itu dibina pada tahun 1909 sebagai memperingati Residen British pertama di Perak, J.W.W. Birch yang dibunuh di Pasir Salak pada tahun 1875.

Sementara itu, salah satu monumen dekat Jalan Sultan Yussuf pula ialah F.M.S. Bar & Restaurant yang dibina pada tahun 1906 oleh imigran Hainan.

“F.M.S. (Federated Malay States) didakwa sebagai antara restoran tertua di Malaysia di mana pelanggannya terdiri daripada pelombong Eropah dan pekerja ladang.

“Restoran ini tidak lagi berfungsi dan sudah ditutup sejak tahun 1923 kerana dipindahkan ke lokasi lain,” katanya.

Keunikan seni bina masjid pula dapat dilihat pada reka bentuk Masjid Padang Kota yang terletak di Jalan S. P. Seenivasagam yang dibina dengan gaya Mogul.

“Masjid ini dibina oleh Shaik Adam, seorang Tamil Muslim kaya pada tahun 1908. Pembinaan masjid ini pernah menimbulkan pertikaian dengan komuniti Muslim dalam kawasan sekitar,” katanya.

Gereja St. John The Divine pula katanya, merupakan gereja terbesar di Malaysia ketika ia dibina pada tahun 1912.

“Semasa pendudukan Jepun, gereja ini diubah suai menjadi kilang memproses mi, tetapi hanya sementara sahaja,” katanya




Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Ahmad Fathil Abd. Ghani, monumen-monumen dalam pekan lama Ipoh diselenggara oleh Majlis Bandaraya Ipoh dan mendapat peruntukan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia.

“Statistik Kementerian Pelancongan Malaysia menunjukkan jumlah pelancong yang datang ke Perak pada tahun lalu ialah 2.41 juta orang, manakala tahun sebelumnya 2.22 juta orang.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 8.54 peratus di mana data diperoleh berdasarkan jumlah penginap hotel di Perak,” katanya.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Cer Kelik Jap Iklan Nih,,,